Jumat, 20 Februari 2009

TARIAN ZAPIN


Zapin merupakan tarian Melayu yang berasaskan kesenian Arab–Parsi yang telah disesuaikan dengan kesenian Melayu. Zapin bermaksud “gerak kaki” daripada perkataan ‘al–Zafn’. Tarian Zapin bercorak persembahan atau pertunjukkan. Gerak tarinya berasaskan langkah kaki penarinya. Banyak tarian Melayu ciptaan baru mengambil rentak zapin sebagai irama tarian.


TEKNIK PERSEMBAHAN TARIAN ZAPIN
Sebagai sebuah tarian persembahan, tarian Zapin terbahagi kepada 3 peringkat :

1. Peringkat pertama - permukaan tarian atau pembuka tari.

2. Peringkat kedua - pecahan atau gerak serta lenggang tari.

3. Peringkat ketiga - penutup tarian.


Zapin menumpukan pada langkahan kaki dengan posisi kaki selalu tertutup dan tidak merendah. Kebanyakan posisi badan selalu bergerak seperti ombak mengalun. Posisi tangan tidak diperlihatkan secara jelas misalnya motif memetik bunga, tangan kanan mahupun kiri berada di bawah bahu. Kebiasaannya, senikata yang dinyanyikan dalam lagu untuk tarian ini diselitkan dengan kalimat berunsur keagamaan seperti “salam” dan “assalamualaikum”, kata– kata nasihat dan pujian kepada kebesaran agama dan kesempurnaan budi pekerti.



PAKAIAN DI DALAM TARIAN ZAPIN
Sungguhpun Zapin mempunyai pengaruh Arab–Parsi, tetapi dari segi pakaian, penari–penari memakai pakaian Melayu selengkapnya iaitu bagi lelaki berkain samping dan bersongkok dan wanita memakai kurung beserta kain sarong.

ALAT MUZIK YANG DIGUNAKAN
Alat muzik utama yang digunakan bagi mengiringi tarian zapin ialah gambus, rebana, gendang dan marakas. Petikan gambus untuk membawakan lagu, sementara rentak gendang atau rebana menentukan rentak dan pecahan tari. Antara lagu zapin ialah Lancang Kuning, Zapin Asli, Gendang Rebana dan lain–lain.

sumber : http://jaksa.kym.edu.my

Posting Komentar